NAMA PRODUK DAN SAIZ
Gel Kulit Kering 50ml
Gel Kulit Kering 100ml
Gel Kulit Kering 200ml
KETERANGAN
Gel dengan 83% minyak untuk kulit yang sangat kering.
PETUNJUK
Meningkatkan kelembapan kulit dengan ketara.
PERSEMBAHAN
Gel oren / merah jambu.
KANDUNGAN
Paraffinum Liquidum, Isopropyl Palmitate, Triisononanoin, Glycerin, Cetearyl Ethylhexanoate, Isopropyl Myristate, Aqua, Caprylic / Capric Triglyceride, Isostearyl Isostearate, C26-28 Alkyl Dimethicone, Butyrospermum Parkii Butter, Sodium Lactate, Urea, Gluconolactone, Sodium PCA, Sodium Hyaluronate, Octyldodecyl PCA, Sucrose Laurate, Sucrose Stearate, Lactic Acid, Lanolin, Butylene Glycol, Dimethicone / Vinyl Dimethicone Crosspolymer, Bisabolol, Helianthus Annuus Seed Oil, Silica, Glycine Soja Oil, Retinyl Palmitate, Tocopheryl Acetate, Niacinamide, Linoleic Acid, Linolenic Acid, Tocopherol, Anthemis Nobilis Flower Oil, Calendula Officinalis Extract, Rosmarinus Officinalis Leaf Oil, Lavandula Angustifolia Oil, Parfum, Farnesol, Limonene, Linalool, CI 17200.
PERCUBAAN KLINIKAL KULIT KERING
Pusat percubaan
Complife Italia Srl, Itali.
Objektif
Penilaian klinikal untuk menguji keberkesanan Gel Kulit Kering Bio‑Oil® untuk meningkatkan kelembapan kulit.
Sampel
Peserta: 40 wanita sihat dengan jenis kulit skala Fitzpatrick II-V dan secara klinikal menunjukkan kulit kering/sangat kering (gred II-IV) pada kulit kaki sebelah bawah, dengan nilai Corneometer kurang daripada 40 semasa pendaftaran. Tapak ujian: produk ujian disapukan pada kulit bahagian bawah sebelah kaki semua peserta. Umur peserta: 40–65 tahun.
Metodologi
Kajian rawak bagi anggota badan, penilai bebas, dan instrumen klinikal terkawal. Peserta mengambil bahagian dalam penilaian penyaringan awal diikuti dengan tempoh kering selama tujuh hari, tempoh rawatan 28 hari dan tempoh susulan tiga hari (regresi). Semasa tempoh kering, dan sepanjang kajian, peserta mencuci kaki mereka dua kali sehari dengan Dove Beauty Bar. Gel Kulit Kering Bio‑Oil® disapu dua kali sehari pada kulit sebelah bawah kaki yang ditetapkan, sementara yang kaki sebelah lagi dibiarkan tidak dirawat. Penilaian klinikal dan penilaian instrumental telah dijalankan pada saringan, asas dan pada hari pertama, ketiga, keenam, kelapan, kesepuluh, ke-14, ke-21, ke-28, ke-29, ke-30 dan ke-31. Kawasan tak dirawat tersebut juga dinilai pada setiap titik masa itu. Penilaian adalah seperti yang berikut: peserta telah digredkan secara klinikal untuk kekeringan (pada skala dari 0–5) oleh penilai visual terlatih. Pengukuran kuantitatif hidrasi kulit dilakukan dengan menggunakan Corneometer. Pengukuran kuantitatif kehilangan air transepidermal (TEWL) sebagai penunjuk fungsi penghalang, dilakukan dengan menggunakan Tewameter.
Keputusan
Gel Kulit Kering Bio‑Oil® menunjukkan peningkatan yang ketara dari segi statistik dalam pelembapan kulit, fungsi penghalang dan penampilan kulit kering (penggredan klinikal kekeringan) pada setiap pemeriksaan pemantauan eksperimen, kedua-duanya dibandingkan dengan nilai asas dan kawasan (kawalan) tak dirawat. Untuk penggredan klinikal kekeringan, peningkatan yang ketara dari segi statistik terbukti dalam 62% peserta dari hari pertama, dan lebih daripada 85% peserta dari hari ketiga dan seterusnya. Dari hari ke-21, 100% peserta menunjukkan peningkatan. Pada hari ke-28 peserta menunjukkan lebih 3.5 kali peningkatan dalam skor penggredan klinikal yang dicatatkan pada hari pertama. Selepas 28 hari penggunaan, 100% peserta menunjukkan peningkatan ketara dalam kelembapan kulit, dengan tahap peningkatan melebihi sekali ganda pada hari pertama. Begitu juga, selepas 28 hari penggunaan 82% peserta menunjukkan penurunan ketara dalam TEWL, dengan tahap peningkatan melebihi 5.5 kali daripada hari pertama. Keberkesanan Gel Kulit Kering Bio‑Oil® meningkatkan kelembapan kulit, fungsi penghalang dan penampilan kulit kering juga telah disahkan dalam 3 hari susulan, apabila penggunaan produk telah dihentikan.
UJIAN KULIT SENSITIF
Pusat percubaan
Complife Italia Srl, Itali.
Objektif
Untuk menilai potensi Gel Kulit Kering Bio‑Oil® akan menyebabkan kerengsaan kulit.
Sampel
Peserta: 30 peserta; 28 perempuan dan 2 lelaki, semuanya mempunyai kulit sensitif mengikut ujian kepedihan asid laktik. Umur peserta: 18–70 tahun.
Metodologi
Kajian terkawal. Dua kawasan telah dinilai: kawasan yang menggunakan kawalan negatif (air tanpa mineral) dan kawasan yang menggunakan Gel Kulit Kering Bio‑Oil®. Produk ujian disapu pada bahagian belakang peserta selama 48 jam dengan menggunakan Finn Chamber®. Tindak balas kulit dinilai di bawah pengawasan pakar dermatologi, untuk menilai kerengsaan kulit primer selepas 15 minit, 1 jam dan 24 jam selepas tampalan ditanggalkan. Tindak balas kulit dinilai pada skala dari 0–4 (dengan 0 tiada eritema, edema, atau jenis kerengsaan kulit yang lain, dan 4 ialah eritema dan edema yang serius, menunjukkan timbulnya warna merah gelap dan bengkak berpanjangan di luar kawasan penggunaan).
Keputusan
Penerimaan kulit terhadap Gel Kulit Kering Bio‑Oil® disimpulkan sebagai 'tidak merengsakan'.
UJIAN TIDAK KOMEDOGENIK
Pusat percubaan
Complife Italia Srl, Itali.
Objektif
Untuk menilai potensi komedogenik Gel Kulit Kering Bio‑Oil®.
Sampel
Peserta: 20 peserta; 18 perempuan dan 2 lelaki, dengan kulit mudah berjerawat. Umur peserta: 18–65 tahun.
Metodologi
Kajian terkawal. Produk telah disapu pada cakera kertas penapis ke bahagian belakang bahagian atas badan peserta. Tampalan dibiarkan selama 48 hingga 72 jam, ditanggalkan, kemudian ditampal lagi. Sebanyak 12 tampalan telah digunakan selama 4 minggu berturut-turut. Tiga kawasan telah dinilai dengan membandingkan kawalan negatif (air tanpa mineral), produk ujian (Gel Kulit Kering Bio‑Oil®) dan kawalan positif (alkohol lanolin, produk komedogenik berjenama). Tindak balas kulit dinilai secara klinikal di bawah pengawasan pakar dermatologi 15 minit selepas setiap tampalan ditanggalkan untuk membandingkan kehadiran bebintik hitam sebelum dan selepas setiap penggunaan produk.
Keputusan
Gel Kulit Kering Bio‑Oil® didapati tidak komedogenik. Kawasan yang disapu Gel Kulit Kering Bio‑Oil® menunjukkan tiada perbezaan yang ketara dengan kawasan kawalan negatif. Kawalan positif telah menyebabkan jerawat tumbuh.
KAJIAN OKLUSIF
Pusat percubaan
Makmal Rigano, Milan, Itali.
Objektif
Untuk melakukan eksperimen penentuan tahap oklusif Gel Kulit Kering Bio‑Oil® di samping keupayaannya untuk membantu kulit mengekalkan lembapan dengan mengurangkan TEWL.
Metodologi
Satu bikar dengan kuantiti air tertentu ditutup dengan membran separuh telap bernama Vitro-Skin™, yang menyerupai sifat permukaan kulit manusia. Gel telah disapu pada membran dan kadar kehilangan air daripada bikar diukur dari semasa ke semasa. Perbandingan kadar kehilangan air telah dibuat dengan bikar kawalan yang tidak membubuh sebarang gel pada membran.
Keputusan
Metodologi ujian kadar penghantaran wap air (WVTR) ialah ujian standard untuk mengukur tahap oklusif produk. Pengurangan dalam nilai WVTR menunjukkan bahawa rumusan tertentu adalah oklusif. Gel Kulit Kering Bio‑Oil® didapati telah mengurangkan nilai WVTR dari segi statistik berbanding kawalan tak dirawat apabila disapu pada membran Vitro-Skin™. Keputusan in vitro ini menunjukkan bahawa Gel Kulit Kering Bio‑Oil® akan membantu kulit mengekalkan kelembapan dalam organisma hidup dan dengan itu membantu melegakan tanda dan gejala kulit kering.
PENGGUNAAN
Cara penggunaan
Sapukan sedikit Gel Kulit Kering Bio‑Oil® pada kulit kering seperti yang diperlukan. Dalam kes kulit kering yang berterusan, penggunaan yang disyorkan ialah dua kali sehari, pagi dan petang. Produk ini dirumus khusus untuk badan, namun boleh digunakan pada wajah juga. Gel Kulit Kering Bio‑Oil® hanyalah untuk kegunaan kosmetik topikal. Gel tidak seharusnya disapu pada luka atau kulit pecah. Elakkan daripada terkena mata. Jika produk masuk ke dalam mata, bilas dengan air. Jauhkan daripada kanak-kanak.
Tempoh penggunaan
Percubaan klinikal Gel Kulit Kering Bio‑Oil® telah dijalankan selama empat minggu, membolehkan prestasi produk dinilai dari semasa ke semasa. Analisis statistik menunjukkan peningkatan ketara dalam penampilan kulit selepas seawal 24 jam dan peningkatan ini dikekalkan sepanjang tempoh percubaan. Walau bagaimanapun, Gel Kulit Kering Bio‑Oil® boleh digunakan secara berterusan untuk ciri-ciri melembapkan dan menyuburkan kulit, menjadikannya sebahagian daripada rutin penjagaan kulit harian.
Penggunaan bersama dengan rutin penjagaan kulit
Untuk penyerapan maksimum, Gel Kulit Kering Bio‑Oil® hendaklah disapu pada kulit yang telah dibersihkan. Jika menggunakan losyen pelindung matahari atau krim lain, gunakan produk tersebut selepas Gel Kulit Kering Bio‑Oil® diserap sepenuhnya ke dalam kulit. Untuk kegunaan seluruh badan, sapukan Gel Kulit Kering Bio‑Oil® selepas mandi atau berendam.
Penggunaan semasa kehamilan
Gel Kulit Kering Bio‑Oil® selamat digunakan semasa kehamilan.
Vitamin A dan kehamilan
Wanita hamil lazimnya disyorkan untuk mengehadkan suplemen pemakanan vitamin A. Mereka berkemungkinan akan bimbang tentang penggunaan produk penjagaan kulit yang mengandungi vitamin A. Sebarang bahan yang digunakan pada kulit hanya berbahaya jika berada pada tahap melebihi ambang toksikologinya. Oleh sebab kulit menjadi halangan utama kepada penembusan, hanya sebahagian kecil daripada vitamin A yang digunakan secara topikal menembusi badan. Jawatankuasa Saintifik Suruhanjaya Eropah mengenai Keselamatan Pengguna (SCCS) telah menilai vitamin A dan esternya, apabila digunakan sebagai bahan kosmetik. Pendapat SCCS ialah penggunaan vitamin A dalam losyen badan, dengan kepekatan maksimum 0.05% bersamaan retinol, adalah selamat. Vitamin A yang terdapat dalam rumusan Gel Kulit Kering Bio‑Oil® berada pada tahap yang jauh di bawah kepekatan maksimum yang dibenarkan untuk losyen badan dan boleh digunakan dengan selamat sepanjang kehamilan.
Minyak rosemary dan kehamilan
Minyak rosemary dalam kepekatan tinggi didapati berfungsi sebagai emenagog atau agen perangsang haid, kerana mampu mencetuskan haid dan berpotensi mendorong kelahiran awal. Itulah sebabnya ahli aromaterapi dan pakar herba yang menggunakan minyak rosemary dalam kepekatan tinggi, mengesyorkan agar tidak menggunakannya semasa kehamilan. Walau bagaimanapun, kepekatan minyak rosemary dalam Gel Kulit Kering Bio‑Oil® adalah sangat rendah, maka gel ini selamat digunakan semasa kehamilan.
Penggunaan semasa menyusu
Gel Kulit Kering Bio‑Oil® selamat digunakan pada badan semasa menyusu, tetapi elakkan penggunaannya pada puting. Walaupun tiada kesan berbahaya yang mungkin berlaku, bayi sangat sensitif dan tidak seharusnya tertelan Gel Kulit Kering Bio‑Oil®, walaupun dalam jumlah yang sangat kecil.
Penggunaan pada bayi dan kanak-kanak
Keselamatan menggunakan Gel Kulit Kering Bio‑Oil® pada kanak-kanak bawah umur tiga tahun belum dinilai. Pada beberapa tahun pertama selepas kelahiran, banyak perubahan berlaku dalam tubuh manusia, termasuk perkembangan sistem imun. Oleh itu, penggunaan losyen hanya disyorkan pada kanak-kanak berumur tiga tahun dan ke atas.
Penggunaan di bawah sinaran matahari
Ujian yang dijalankan pada Gel Kulit Kering Bio‑Oil® menunjukkan bahawa produk tidak menambah atau memburukkan lagi selaran matahari. Oleh itu, produk ini selamat untuk digunakan di bawah sinar matahari. Walau bagaimanapun, produk ini tidak menawarkan perlindungan terhadap kesan berbahaya sinaran UVA dan UVB matahari. Oleh itu, penting untuk menggunakan produk tersebut bersama-sama dengan tabir suria spektrum luas dengan faktor perlindungan matahari (SPF) sekurang-kurangnya 30.
Penggunaan pada atau berdekatan selaput mukosa
Gel Kulit Kering Bio‑Oil® telah diklasifikasikan sebagai selamat untuk semua kegunaan, namun keselamatannya belum diuji untuk bersentuhan dengan selaput mukosa kerana ini bukan penggunaan produk yang dilihat sebagai munasabah.
Penggunaan yang ada kaitan dengan radioterapi atau kemoterapi
Gel Kulit Kering Bio‑Oil® ialah produk kosmetik. Orang yang menjalani radioterapi atau rawatan kemoterapi disyorkan untuk mendapatkan nasihat pengamal perubatan sebelum menggunakan produk.
Penggunaan dengan produk farmaseutikal
Gel Kulit Kering Bio‑Oil® ialah produk kosmetik. Untuk nasihat mengenai penggunaan produk serentak dengan produk farmaseutikal, sebaik-baiknya dapatkan nasihat pengamal perubatan.
Penggunaan pada kulit sensitif
Gel Kulit Kering Bio‑Oil® boleh digunakan pada kulit sensitif. Dalam kajian kerengsaan kulit yang dijalankan pada 30 peserta berumur 18–70 tahun dengan kulit sensitif, tiada subjek mengalami sebarang kesan mudarat terhadap Gel Kulit Kering Bio‑Oil®.
Penggunaan pada kulit berminyak
Gel Kulit Kering Bio‑Oil® boleh digunakan pada kulit berminyak. Dalam percubaan yang dijalankan pada 20 peserta berumur 18–65 tahun dengan kulit mudah berjerawat, Gel Kulit Kering Bio‑Oil® didapati tidak komedogenik.
Penggunaan pada kulit mudah berjerawat
Gel Kulit Kering Bio‑Oil® boleh digunakan pada kulit mudah berjerawat. Dalam percubaan yang dijalankan pada 20 peserta berumur 18–65 tahun dengan kulit mudah berjerawat, Gel Kulit Kering Bio‑Oil® didapati tidak komedogenik. Pengguna yang mengalami masalah jerawat dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan sebelum menggunakan Gel Kulit Kering Bio‑Oil®.
GEJALA DAN PUNCA KULIT KERING
Simptom
Gejala kulit kering termasuk kulit kusam dan menggelupas, garis halus, kulit berwarna kelabu atau pucat selain kulit terasa kesat dan tegang.
Punca
Kulit kering disebabkan oleh faktor luaran dan dalaman. Faktor luaran: Iklim kering menyebabkan lembapan diserap dari dalam kulit, melalui dwilapisan lipid dan ke udara luar yang kering. Pendingin hawa dan pemanas menyedut lembapan daripada udara, mewujudkan iklim kering buatan yang kemudiannya menyedut kelembapan daripada kulit. Melakukan cucian dan pendedahan terhadap detergen keras setiap hari menyebabkan dwilapisan lipid kulit lenyap, lantas memudahkan lembapan terbebas daripada kulit. Faktor dalaman: Apabila badan semakin tua, semakin kurang lipid dihasilkan yang menyebabkan dwilapisan lipid menipis dan memudahkan lembapan keluar. Genetik boleh memainkan peranan dalam perkembangan kulit kering kerana paras seramida yang lebih rendah secara semula jadi dalam dwilapisan lipid. Ini mengakibatkan pengurangan oklusif sawar kulit, menyumbang kepada tahap kehilangan lembapan yang melebihi normal. pH kulit mempengaruhi fungsi penghalang. Tahap pH yang lebih tinggi dalam kulit menjejaskan fungsi sihat dwilapisan lipid.
PENILAIAN KESELAMATAN
Gel Kulit Kering Bio‑Oil® telah menjalani penilaian keselamatan oleh ahli toksikologi bertauliah dan telah diklasifikasikan sebagai selamat untuk digunakan oleh orang dewasa, termasuk wanita hamil dan menyusu, dan kanak-kanak berumur lebih tiga tahun.
KESAN MUDARAT
Walaupun Gel Kulit Kering Bio‑Oil® mempunyai profil toksikologi yang selamat dan memenuhi peraturan antarabangsa dalam hal ini, seperti juga semua produk kosmetik, terdapat risiko pengguna Gel Kulit Kering Bio‑Oil® mungkin mengalami kesan mudarat apabila menggunakan produk. Jika kesan mudarat berlaku, penggunaan produk harus dihentikan serta-merta. Gejala tindak balas kulit yang buruk boleh termasuk ruam, bengkak dan keradangan, yang biasanya berlaku di kawasan yang disapu produk. Tindak balas ini mungkin disertai dengan kegatalan dan sedikit ketidakselesaan. Dalam kebanyakan kes, kesan mudarat akan reda dalam masa dua hingga tiga hari selepas penggunaan produk telah dihentikan. Sehingga keadaan kulit kembali kepada asal, kulit mungkin kelihatan kering dan menggelupas apabila tindak balas berkurangan. Jika terdapat sebarang kebimbangan mengenai tindak balas alahan yang berpotensi terhadap penggunaan Gel Kulit Kering Bio‑Oil®, lakukan ujian alahan yang mudah ini. Ini dilakukan dengan menyapu sedikit gel pada bahagian bawah lengan dan menunggu selama 24 jam untuk melihat jika berlakunya sebarang tindak balas. Kulit menjadi kemerah-merahan yang ketara (eritema) atau sedikit bengkak pada kulit (edema) mungkin menunjukkan potensi tindak balas alahan.
ALERGEN
Seperti kebanyakan alergen, ini terdapat dalam minyak tumbuhan dan pewangi. Yang terdiri daripada: Farnesol, Limonene, dan Linalool.
TERTELAN
Sekiranya tertelan Gel Kulit Kering Bio‑Oil®, kemungkinan berlakunya sebarang kesan mudarat adalah tipis kecuali mungkin hanya mengalami rasa mual dan cirit-birit kerana Gel Kulit Kering Bio‑Oil® bukan toksik. Walau bagaimanapun, pengguna disyorkan untuk mendapatkan nasihat perubatan, terutamanya dalam kes tertelan yang melibatkan bayi atau kanak-kanak.
TEMPOH SELEPAS DIBUKA (PAO)
PAO Gel Kulit Kering Bio‑Oil® ialah 12 bulan. Ini ialah tempoh selepas pembukaan produk yang selamat dan boleh digunakan tanpa sebarang bahaya kepada pengguna.
PEMBUATAN
Pembuatan Gel Kulit Kering Bio‑Oil® mematuhi keperluan Amalan Pengilangan Baik (GMP) ISO 22716:2007 untuk produk kosmetik. Semua bahan mentah yang digunakan dalam pembuatan Gel Kulit Kering Bio‑Oil® disertakan dengan Sijil Analisis (COA), dan semua bahan pembungkusan disertakan dengan Sijil Pematuhan (COC). Tiada bahan mentah atau bahan pembungkusan dilepaskan untuk pengeluaran sehingga ujian kawalan kualiti telah diluluskan. Setiap kelompok campuran Gel Kulit Kering Bio‑Oil® diperuntukkan nombor kelompok yang unik. Sampel daripada kelompok diuji oleh makmal untuk rupa, warna, bau, pengecaman melalui spektrofotometri, ketumpatan, kelikatan dan mikrobiologi. Sampel disimpan selama empat tahun. Pengisian dan pembungkusan Gel Kulit Kering Bio‑Oil® dilakukan di kemudahan dengan suhu dan kelembapan terkawal. Udara akan melalui sistem penapisan udara zarah kecekapan tinggi (HEPA) untuk mengelakkan pencemaran habuk. Pekerja yang bekerja di barisan pengeluaran memakai topi, topeng muka, pelindung muka, sarung tangan, kot dan penutup kasut. Sampel dikeluarkan daripada barisan pengeluaran pada selang masa yang tetap dan diperiksa oleh jabatan Kawalan Kualiti sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kecacatan yang luar biasa. Nombor kelompok dicetak pada tab, karton dan penghantar, dan sampel pengekalan daripada setiap kelompok yang dikilang disimpan selama empat tahun.
ARAHAN PENYIMPANAN
Gel Kulit Kering Bio‑Oil® hendaklah disimpan di tempat yang sejuk, jauh daripada pancaran matahari.
KITAR SEMULA
Semua pembungkusan Gel Kulit Kering Bio‑Oil® (tab, penutup, label dan karton) boleh dikitar semula.
PENSIJILAN
Gel Kulit Kering Bio‑Oil® disahkan Halal dan Kosher.
TIDAK DIUJI PADA HAIWAN
Gel Kulit Kering Bio‑Oil® dan unsur bahan mentahnya dibuat dengan mematuhi peraturan EU berkaitan ujian haiwan untuk tujuan kosmetik. Gel Kulit Kering Bio‑Oil®, mahupun mana-mana ramuannya, tidak diuji pada haiwan sama ada oleh Bio‑Oil atau mana-mana pembekal bahan mentahnya.
BUKAN VEGAN
Gel Kulit Kering Bio‑Oil® mengandungi lanolin, iaitu lilin yang diekstrak daripada bulu biri-biri. Oleh itu, Gel Kulit Kering Bio‑Oil® bukan vegan.
PERUBAHAN PENAMPILAN
Terdapat dua keadaan apabila penampilan Gel Kulit Kering Bio‑Oil® mungkin berubah. Keadaan pertama berlaku apabila gel terdedah kepada suhu tinggi atau rendah yang melampau untuk tempoh yang lama; suhu tinggi melampau akan mengeringkan permukaan gel, dan ini lebih ketara apabila bekas dibiarkan terbuka. Sebaliknya, suhu rendah melampau boleh menyebabkan pembekuan. Kedua-dua keadaan ini akan menukarkan gel kepada warna putih. Keadaan kedua berlaku apabila air, atau cecair lain, termasuk ke dalam balang semasa digunakan. Cecair akan berinteraksi dengan pengemulsi dalam rumusan dan memulakan proses pengemulsi, menyebabkan gel menjadi putih dan konsistensinya berubah.
PEMBUNGKUSAN