JENAMA

Bio‑Oil®

NAMA PRODUK DAN SAIZ

Losyen Badan 175ml

Losyen Badan 250ml

KETERANGAN

Losyen badan dengan 42% minyak untuk pelembapan harian.

PETUNJUK

Meningkatkan kelembapan kulit dengan ketara.

PERSEMBAHAN

Cecair putih.

KANDUNGAN

Aqua, Dimethicone, Isopropyl Palmitate, Ethylhexyl Cocoate, Isododecane, Isopropyl Myristate, Urea, Polyglyceryl-2 Dipolyhydroxystearate, Glycerin, Pentylene Glycol, Dicaprylyl Carbonate, Polyglyceryl-3 Diisostearate, Sodium Lactate, Dipentaerythrityl Hexacaprylate / Hexacaprate, Gluconolactone, Rosa Canina Fruit Oil, Simmondsia Chinensis Seed Oil, Calendula Officinalis Extract, Butyrospermum Parkii Oil, Helianthus Annuus Seed Oil, Glycine Soja Oil, Isostearyl Isostearate, Bisabolol, Octyldodecyl PCA, Retinyl Palmitate, Tocopheryl Acetate, Linoleic Acid, Linolenic Acid, Tocopherol, Sodium PCA, Sodium Hyaluronate, Lactic Acid, Stearalkonium Hectorite, Propylene Carbonate.

PERCUBAAN KLINIKAL KULIT KERING

Pusat percubaan

Complife Italia Srl, Itali.

Objektif

Penilaian klinikal untuk menguji keberkesanan Losyen Badan Bio‑Oil® untuk meningkatkan kelembapan kulit.

Sampel

Peserta: 30 peserta wanita sihat dengan jenis kulit skala Fitzpatrick II-V dan secara klinikal menunjukkan kulit kering/sangat kering pada bahagian bawah kaki. Tapak ujian: produk ujian disapukan pada kaki di bahagian bawah semua peserta. Umur peserta: 25–65 tahun.

Metodologi

Kajian rawak bagi anggota badan, penilai bebas, dan instrumen klinikal terkawal. Para peserta membasuh kaki mereka dengan sabun untuk menggalakkan kulit kering selama 7 hari. Penilaian klinikal dan instrumental asas telah diambil. Losyen Badan Bio‑Oil® disapu dua kali sehari selama 28 hari pada sisi kaki bahagian bawah yang ditetapkan, sementara kaki sebelah lagi dibiarkan tidak dirawat. Penilaian klinikal dan penilaian instrumental telah dijalankan pada hari pertama, ketiga, keenam, kelapan, kesepuluh, ke-14, ke-21 dan ke-28. Kawasan tak dirawat tersebut juga dinilai pada setiap titik masa itu. Peserta telah digredkan secara klinikal untuk kekeringan (pada skala dari 0–5) oleh penilai visual terlatih. Pengukuran kuantitatif hidrasi kulit dilakukan dengan menggunakan Corneometer. Pengukuran kuantitatif kehilangan air transepidermal (TEWL) sebagai penunjuk fungsi penghalang, dilakukan dengan menggunakan Tewameter. Selain itu, soal selidik penilaian kendiri telah dilengkapkan pada hari kelapan dan ke-14.

Keputusan

Berbanding kawasan tak dirawat, kawasan yang dirawat dengan Losyen Badan Bio‑Oil® menunjukkan penambahbaikan yang ketara dari segi statistik dalam penggredan klinikal kekeringan, pengukuran Tewameter dan Corneometer, seawal hari pertama, dan pada semua titik masa. Bagi penggredan kekeringan dari segi klinikal, peningkatan yang ketara dari segi statistik dapat dilihat dalam 96.7% daripada peserta dari hari ke-14, sekali ganda peningkatan yang dilihat pada hari pertama. Selepas penggunaan selama 28 hari, 100% peserta menunjukkan peningkatan ketara dalam kelembapan kulit, dengan tahap peningkatan hampir 4 kali berbanding pada hari pertama. Begitu juga, selepas 28 hari penggunaan 100% peserta menunjukkan penurunan ketara dalam TEWL, dengan tahap peningkatan lebih daripada sekali ganda pada hari pertama. Dapatan ini disokong oleh hasil soal selidik penilaian kendiri.

PERCUBAAN PENGGUNA KULIT KERING

Pusat percubaan

Ayton Global Research, United Kingdom.

Objektif

Untuk menilai prestasi Losyen Badan Bio‑Oil® sebagai pelembap badan.

Sampel

Peserta: 117 peserta wanita yang sihat tubuh badan. Umur Peserta: 18–65 tahun.

Metodologi

Percubaan pengguna di rumah, rawatan tunggal untuk dua minggu. Peserta diarahkan untuk menggunakan produk dua kali sehari, pagi dan petang. Urut ke dalam kulit sehingga diserap sepenuhnya. Tiga soal selidik pendek telah dilengkapkan: yang pertama selepas penggunaan awal, yang kedua selepas 12 jam, dan yang ketiga selepas 2 minggu menggunakan produk.

Keputusan

Penggunaan: 95% peserta bersetuju bahawa 'produk itu lebih ringan daripada mana-mana pelembap yang pernah digunakan sebelum ini'. 93% peserta bersetuju bahawa 'produk merata dengan lebih mudah daripada mana-mana pelembap yang pernah digunakan sebelum ini'. Penyerapan: 82% peserta bersetuju bahawa 'produk menyerap lebih mudah daripada mana-mana pelembap yang pernah digunakan sebelum ini'. 75% peserta bersetuju bahawa 'produk menyerap lebih cepat daripada mana-mana pelembap yang pernah digunakan sebelum ini'. 74% peserta bersetuju bahawa 'produk tidak meninggalkan kesan berminyak selepas digunakan'. 86% peserta bersetuju bahawa 'selepas menggunakan produk mereka boleh berpakaian serta-merta'. Penghidratan: 93% daripada peserta bersetuju bahawa 'produk membuat kulit berasa lembap serta-merta'. 92% daripada peserta bersetuju bahawa 'selepas menggunakan produk kulit mereka berasa halus dan lembut'. 90% daripada peserta bersetuju bahawa 'kulit mereka berasa lembap sepanjang hari' dan 91% bersetuju bahawa 'kulit mereka berasa halus dan selembut sutera sepanjang hari’. 92% daripada peserta bersetuju bahawa 'kulit mereka kelihatan lebih baik berbanding pada permulaan tempoh 2 minggu tersebut'. Kesimpulannya: 73% daripada peserta bersetuju bahawa 'produk itu lebih baik daripada mana-mana pelembap yang pernah digunakan sebelum ini'.

UJIAN KULIT SENSITIF

Pusat percubaan

Complife Italia Srl, Itali.

Objektif

Untuk menilai potensi Losyen Badan Bio‑Oil® menyebabkan kerengsaan kulit.

Sampel

Peserta: 25 peserta; 22 wanita dan 3 lelaki, semuanya mempunyai kulit sensitif mengikut ujian kepedihan asid laktik. Umur peserta: 18–70 tahun.

Metodologi

Kajian terkawal. Dua kawasan telah dinilai: kawasan yang menggunakan kawalan negatif (air tanpa mineral) dan kawasan yang disapu Losyen Badan Bio‑Oil®. Produk ujian disapu pada bahagian belakang peserta, menyentuh permukaan kulit, selama 48 jam dengan menggunakan Finn Chamber®. Tindak balas kulit dinilai di bawah pengawasan pakar dermatologi, untuk menilai kerengsaan kulit primer selepas 15 minit, 1 jam dan 24 jam selepas tampalan ditanggalkan. Tindak balas kulit dinilai pada skala dari 0–4 (dengan 0 tiada eritema, edema, atau jenis kerengsaan kulit yang lain, dan 4 ialah eritema dan edema yang serius, menunjukkan timbulnya warna merah gelap dan bengkak berpanjangan di luar kawasan penggunaan).

Keputusan

Penerimaan kulit terhadap Losyen Badan Bio‑Oil® disimpulkan sebagai 'tidak merengsakan'.

UJIAN TIDAK KOMEDOGENIK

Pusat percubaan

Complife Italia Srl, Itali.

Objektif

Untuk menilai potensi komedogenik Losyen Badan Bio‑Oil®.

Sampel

Peserta: 20 peserta; 14 perempuan dan 6 lelaki daripada pelbagai jenis kulit skala Fitzpatrick dengan kulit mudah berjerawat. Umur peserta: 18–65 tahun.

Metodologi

Kajian terkawal. Produk telah disapu pada cakera kertas penapis ke bahagian belakang bahagian atas badan peserta. Tampalan dibiarkan selama 48 hingga 72 jam, ditanggalkan, kemudian ditampal lagi. Sebanyak 12 tampalan telah digunakan selama 4 minggu berturut-turut. Tiga kawasan dinilai dengan membandingkan kawalan negatif (air tanpa mineral), produk ujian (Losyen Badan Bio‑Oil®) dan kawalan positif (alkohol lanolin, produk komedogenik berjenama). Tindak balas kulit dinilai secara klinikal di bawah pengawasan pakar dermatologi 15 minit selepas setiap tampalan ditanggalkan untuk membandingkan kehadiran bebintik hitam sebelum dan selepas setiap penggunaan produk.

Keputusan

Losyen Badan Bio‑Oil® didapati tidak komedogenik. Kawasan yang disapu Losyen Badan Bio‑Oil® menunjukkan tiada perbezaan yang ketara dengan kawasan kawalan negatif. Kawalan positif telah menyebabkan jerawat tumbuh.

KAJIAN KELIKATAN

Pusat percubaan

Union Swiss, Afrika Selatan.

Objektif

Kajian dalaman untuk menilai kelikatan dinamik Losyen Badan Bio‑Oil® berbanding produk pelembap yang serupa.

Sampel

Perbandingan Losyen Badan Bio‑Oil® dengan 13 produk pelembap yang dikeluarkan oleh 10 jenama global dengan sejarah produk pelembapan yang mantap.

Metodologi

Kelikatan dinamik dibaca menggunakan reometer QC Anton Paar RheoLab, menggunakan gelendong CC 39, kelajuan: 200 rpm pada 20˚C, kadar ricih: 155.

Keputusan

Losyen Badan Bio‑Oil® didapati mempunyai kelikatan dinamik 7.5 kali lebih rendah daripada purata produk pesaing (94 mPa.s berbanding 707 mPa.s masing-masing), menunjukkan cecair yang lebih cair dan lebih ringan lebih mudah dan cepat diserap.

PENGGUNAAN

Cara penggunaan

Losyen Badan Bio‑Oil® hendaklah diurut dalam gerakan membulat pada badan sehingga diserap sepenuhnya. Losyen Badan Bio‑Oil® disyorkan untuk digunakan dua kali sehari, pagi dan petang. Losyen Badan Bio‑Oil® tidak seharusnya disapu pada luka atau kulit pecah. Tujuannya adalah untuk kegunaan kosmetik secara topikal sahaja. Elakkan daripada terkena mata. Jika produk masuk ke dalam mata, bilas dengan air. Jauhkan daripada kanak-kanak.

Goncang sebelum guna

Losyen Badan Bio‑Oil® ialah sejenis emulsi gabungan air dan minyak. Begitu ringan, apabila botol ditegakkan sebahagian minyak naik ke permukaan dan membentuk selapisan nipis minyak. Dengan mengocak produk perlahan-lahan sebelum digunakan, lapisan minyak meresap kembali ke dalam losyen. Lapisan minyak boleh terbentuk dalam tiga hari sehingga tiga minggu dan bergantung pada faktor-faktor seperti suhu, kekuatan dan kekerapan botol dikocak. Apabila produk digunakan setiap hari, tindakan menterbalikkan botol semasa mengeluarkan isinya sudah memadai untuk memastikan lapisan minyak itu tidak terbentuk. Jika lapisan minyak terbentuk dan produk dikeluarkan tanpa menggoncangkan botol, campuran minyak yang jernih yang akan keluar. Perkara ini tidak membahayakan pengguna.

Tempoh penggunaan

Percubaan klinikal Losyen Badan Bio‑Oil® telah dijalankan selama empat minggu, membolehkan prestasi produk dinilai dari semasa ke semasa. Analisis statistik menunjukkan peningkatan ketara dalam penampilan kulit selepas seawal 24 jam dan peningkatan ini dikekalkan sepanjang tempoh percubaan. Walau bagaimanapun, Losyen Badan Bio‑Oil® boleh digunakan secara berterusan untuk ciri-ciri melembapkan dan menyuburkan kulit, menjadikannya sebahagian daripada rutin penjagaan kulit harian.

Penggunaan bersama dengan rutin penjagaan kulit

Untuk penyerapan maksimum, Losyen Badan Bio‑Oil® hendaklah disapu pada kulit yang telah dibersihkan. Jika menggunakan losyen pelindung matahari atau krim lain, gunakan produk tersebut selepas Losyen Badan Bio‑Oil® diserap sepenuhnya ke dalam kulit. Untuk kegunaan seluruh badan, sapukan Losyen Badan Bio‑Oil® selepas mandi atau berendam.

Penggunaan semasa kehamilan

Losyen Badan Bio‑Oil® selamat digunakan semasa hamil.

Vitamin A dan kehamilan

Wanita hamil lazimnya disyorkan untuk mengehadkan suplemen pemakanan vitamin A. Mereka berkemungkinan akan bimbang tentang penggunaan produk penjagaan kulit yang mengandungi vitamin A. Sebarang bahan yang digunakan pada kulit hanya berbahaya jika berada pada tahap melebihi ambang toksikologinya. Oleh sebab kulit menjadi halangan utama kepada penembusan, hanya sebahagian kecil daripada vitamin A yang digunakan secara topikal menembusi badan. Jawatankuasa Saintifik Suruhanjaya Eropah mengenai Keselamatan Pengguna (SCCS) telah menilai vitamin A dan esternya, apabila digunakan sebagai bahan kosmetik. Pendapat SCCS ialah penggunaan vitamin A dalam losyen badan, dengan kepekatan maksimum 0.05% bersamaan retinol, adalah selamat. Vitamin A yang terdapat dalam rumusan Losyen Badan Bio‑Oil® berada pada tahap yang jauh di bawah kepekatan maksimum yang dibenarkan untuk losyen badan dan boleh digunakan dengan selamat sepanjang kehamilan.

Penggunaan semasa menyusu

Losyen Badan Bio‑Oil® selamat digunakan pada badan semasa menyusu, elakkan penggunaannya pada puting. Walaupun tiada kesan berbahaya yang mungkin berlaku, bayi sangat sensitif dan tidak seharusnya tertelan Losyen Badan Bio‑Oil®, walaupun dalam jumlah yang sangat kecil.

Penggunaan pada bayi dan kanak-kanak

Keselamatan menggunakan Losyen Badan Bio‑Oil® pada kanak-kanak bawah umur tiga tahun belum dinilai. Pada beberapa tahun pertama selepas kelahiran, banyak perubahan berlaku dalam tubuh manusia, termasuk perkembangan sistem imun. Oleh itu, penggunaan losyen hanya disyorkan pada kanak-kanak berumur tiga tahun dan ke atas.

Penggunaan di bawah sinaran matahari

Ujian yang dijalankan pada Losyen Badan Bio‑Oil® menunjukkan bahawa produk tidak menambah atau memburukkan lagi selaran matahari. Oleh itu, produk ini selamat untuk digunakan di bawah sinar matahari. Walau bagaimanapun, produk ini tidak menawarkan perlindungan terhadap kesan berbahaya sinaran UVA dan UVB matahari. Oleh itu, penting untuk menggunakan produk tersebut bersama-sama dengan tabir suria spektrum luas dengan faktor perlindungan matahari (SPF) sekurang-kurangnya 30.

Penggunaan pada atau berdekatan selaput mukosa

Losyen Badan Bio‑Oil® telah diklasifikasikan sebagai selamat untuk semua kegunaan, namun keselamatannya belum diuji untuk bersentuhan dengan selaput mukosa kerana ini bukan penggunaan produk yang dilihat sebagai munasabah.

Penggunaan yang ada kaitan dengan radioterapi atau kemoterapi

Losyen Badan Bio‑Oil® ialah produk kosmetik. Orang yang menjalani radioterapi atau rawatan kemoterapi disyorkan untuk mendapatkan nasihat pengamal perubatan sebelum menggunakan produk.

Penggunaan dengan produk farmaseutikal

Losyen Badan Bio‑Oil® ialah produk kosmetik. Untuk nasihat mengenai penggunaan produk serentak dengan produk farmaseutikal, sebaik-baiknya dapatkan nasihat pengamal perubatan.

Penggunaan pada kulit sensitif

Losyen Badan Bio‑Oil® boleh digunakan pada kulit sensitif. Dalam kajian kerengsaan kulit yang dijalankan pada 25 peserta berumur 18–70 tahun dengan kulit sensitif, tiada subjek mengalami sebarang kesan mudarat terhadap rumusan.

Penggunaan pada kulit berminyak

Losyen Badan Bio‑Oil® boleh digunakan pada kulit berminyak. Dalam percubaan yang dijalankan pada 20 peserta berumur 18–65 tahun dengan kulit mudah berjerawat, Losyen Badan Bio‑Oil® didapati tidak komedogenik.

Penggunaan pada kulit mudah berjerawat

Losyen Badan Bio‑Oil® boleh digunakan pada kulit mudah berjerawat. Dalam percubaan yang dijalankan pada 20 peserta berumur 18–65 tahun dengan kulit mudah berjerawat, Losyen Badan Bio‑Oil® didapati tidak komedogenik. Pengguna yang mengalami masalah jerawat dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan sebelum menggunakan Losyen Badan Bio‑Oil®.

GEJALA DAN PUNCA KULIT KERING

Simptom

Gejala kulit kering termasuk kulit kusam dan menggelupas, garis halus, kulit berwarna kelabu atau pucat selain kulit terasa kesat dan tegang.

Punca

Kulit kering disebabkan oleh faktor luaran dan dalaman. Faktor luaran: Iklim kering menyebabkan lembapan diserap dari dalam kulit, melalui dwilapisan lipid dan ke udara luar yang kering. Pendingin hawa dan pemanas menyedut lembapan daripada udara, mewujudkan iklim kering buatan yang kemudiannya menyedut kelembapan daripada kulit. Melakukan cucian dan pendedahan terhadap detergen keras setiap hari menyebabkan dwilapisan lipid kulit lenyap, lantas memudahkan lembapan terbebas daripada kulit. Faktor dalaman: Apabila badan semakin tua, semakin kurang lipid dihasilkan yang menyebabkan dwilapisan lipid menipis dan memudahkan lembapan keluar. Genetik boleh memainkan peranan dalam perkembangan kulit kering kerana paras seramida yang lebih rendah secara semula jadi dalam dwilapisan lipid. Ini mengakibatkan pengurangan oklusif sawar kulit, menyumbang kepada tahap kehilangan lembapan yang melebihi normal. pH kulit mempengaruhi fungsi penghalang. Tahap pH yang lebih tinggi dalam kulit menjejaskan fungsi sihat dwilapisan lipid.

PENILAIAN KESELAMATAN

Losyen Badan Bio‑Oil® telah menjalani penilaian keselamatan oleh ahli toksikologi bertauliah dan telah diklasifikasikan sebagai selamat untuk digunakan oleh orang dewasa, termasuk wanita hamil dan menyusu, dan kanak-kanak berumur lebih tiga tahun.

KESAN MUDARAT

Walaupun Losyen Badan Bio‑Oil® mempunyai profil toksikologi yang selamat dan memenuhi peraturan antarabangsa dalam hal ini, seperti juga semua produk kosmetik, terdapat risiko pengguna Losyen Badan Bio‑Oil® mungkin mengalami kesan mudarat apabila menggunakan produk. Jika kesan mudarat berlaku, penggunaan produk harus dihentikan serta-merta. Gejala tindak balas kulit yang buruk boleh termasuk ruam, bengkak dan keradangan, yang biasanya berlaku di kawasan yang disapu produk. Tindak balas ini mungkin disertai dengan kegatalan dan sedikit ketidakselesaan. Dalam kebanyakan kes, kesan mudarat akan reda dalam masa dua hingga tiga hari selepas penggunaan produk telah dihentikan. Sehingga keadaan kulit kembali kepada asal, kulit mungkin kelihatan kering dan menggelupas apabila tindak balas berkurangan. Jika terdapat sebarang kebimbangan mengenai tindak balas alahan yang berpotensi terhadap penggunaan Losyen Badan Bio‑Oil®, ujian alahan mudah untuk memeriksa perkara ini wajar dilakukan. Ini dilakukan dengan menyapu sedikit Losyen Badan Bio‑Oil® pada bahagian bawah lengan dan menunggu selama 24 jam untuk melihat jika berlakunya sebarang tindak balas. Kulit menjadi kemerah-merahan yang ketara (eritema) atau sedikit bengkak pada kulit (edema) mungkin menunjukkan potensi tindak balas alahan.

TERTELAN

Sekiranya tertelan Losyen Badan Bio‑Oil®, kemungkinan berlakunya sebarang kesan mudarat adalah tipis kecuali mungkin hanya mengalami rasa mual dan cirit-birit kerana Losyen Badan Bio‑Oil® bukan toksik. Walau bagaimanapun, pengguna disyorkan untuk mendapatkan nasihat perubatan, terutamanya dalam kes tertelan yang melibatkan bayi atau kanak-kanak.

TEMPOH SELEPAS DIBUKA (PAO)

PAO Losyen Badan Bio‑Oil® ialah 12 bulan. Ini ialah tempoh selepas pembukaan produk yang selamat dan boleh digunakan tanpa sebarang bahaya kepada pengguna.

PEMBUATAN

Pembuatan Losyen Badan Bio‑Oil® mematuhi keperluan Amalan Pengilangan Baik (GMP) ISO 22716:2007 untuk produk kosmetik. Semua bahan mentah yang digunakan dalam pembuatan Losyen Badan Bio‑Oil® disertakan dengan Sijil Analisis (COA), dan semua bahan pembungkusan disertakan dengan Sijil Pematuhan (COC). Tiada bahan mentah atau bahan pembungkusan dilepaskan untuk pengeluaran sehingga ujian kawalan kualiti telah diluluskan. Setiap kelompok campuran Losyen Badan Bio‑Oil® diperuntukkan nombor kelompok yang unik. Sampel daripada kelompok diuji oleh makmal untuk rupa, warna, bau, pengecaman melalui spektrofotometri, ketumpatan, kelikatan dan mikrobiologi. Sampel disimpan selama empat tahun. Pengisian dan pembungkusan Losyen Badan Bio‑Oil® dilakukan di kemudahan dengan suhu dan kelembapan terkawal. Udara akan melalui sistem penapisan udara zarah kecekapan tinggi (HEPA) untuk mengelakkan pencemaran habuk. Pekerja yang bekerja di barisan pengeluaran memakai topi, topeng muka, pelindung muka, sarung tangan, kot dan penutup kasut. Sampel dikeluarkan daripada barisan pengeluaran pada selang masa yang tetap dan diperiksa oleh jabatan Kawalan Kualiti sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kecacatan yang luar biasa. Nombor kelompok dicetak pada botol, karton dan penghantar, dan sampel pengekalan daripada setiap kelompok yang dikilang disimpan selama empat tahun.

ARAHAN PENYIMPANAN

Losyen Badan Bio‑Oil® hendaklah disimpan di tempat yang sejuk, jauh daripada pancaran matahari.

KITAR SEMULA

Semua pembungkusan Losyen Badan Bio‑Oil® (botol, penutup dan karton) boleh dikitar semula.

PENSIJILAN

Losyen Badan Bio‑Oil® disahkan Halal dan Kosher.

TIDAK DIUJI PADA HAIWAN

Losyen Badan Bio‑Oil® dan unsur bahan mentahnya dibuat dengan mematuhi peraturan EU berkaitan ujian haiwan untuk tujuan kosmetik. Losyen Badan Bio‑Oil®, mahupun mana-mana ramuannya, tidak diuji pada haiwan sama ada oleh Bio‑Oil atau mana-mana pembekal bahan mentahnya.

VEGAN

Losyen Badan Bio‑Oil® tidak mengandungi sebarang bahan yang berasal daripada haiwan.

PERUBAHAN PENAMPILAN

Losyen Badan Bio‑Oil® mengandungi ekstrak kalendula dan minyak pati, serta vitamin A palmitat, yang semuanya sensitif cahaya. Jika terdedah kepada cahaya matahari, produk boleh mengalami perubahan warna selepas beberapa lama. Simpan Losyen Badan Bio‑Oil® di tempat yang terlindung daripada pancaran matahari.

PEMBUNGKUSAN

Imej produk Losyen Badan Bio‑Oil